Powered by Blogger.

Tuesday, May 24, 2011

TAZKIRAH SELASA.....Ciri-ciri Pemimpin Yang Diredhai

0 comments
PEMIMPIN satu amanah dan bukannya tempat mencari kemuliaan sebab amanah ini akan ditanya di akhirat nanti. Realitinya hari ini pemimpin dipuji, diberi sambutan dan tepuk sorak. Siapalah tidak ghairah pasang angan-angan menjadi pemimpin, hingga ada yang berkata: “Asyik dia orang saja dapat, bila lagi giliran aku pula.”

Islam sejak beratus tahun lampau mencipta rekod kepemimpinan di pelbagai benua dan kota, terus melakarkan beberapa pra syarat agar pemimpin betul-betul ‘menjadi’ dan orang yang dipimpin menerima nikmat kepemimpinan, bukan hanya terpimpin selamat di dunia malah juga di akhirat nanti.

Syarat pertama pemimpin ialah iman. Dalam surah al-Kahfi Allah menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu ‘imun’, ‘aman’ dan ‘amin.’

Imun maknanya kebal daripada maksiat dan kebal daripada rasuah. Aman maknanya dia berasa aman bila bersama Allah, malah di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit. Manakala ‘amin’ pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak menerima amanah .

Syarat kedua ialah ilmu kepemimpinan. Kepemimpinan bukannya secara spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu.

Makna kepemimpinan ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi pengikut mencapai matlamat yang digarap. Jika tidak ada ilmu, sepak terajang dan kerenah kepemimpinan, nanti kita pula yang dipimpin.

Syarat ketiga ialah ’selfleadership.’ Bagaimana kita boleh memimpin orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?

Perkataan ‘leader’ merujuk kepada tanggungjawab (al-mas’uliyah). Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Setiap kamu dalam pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawab berdasarkan apa yang kamu pimpin.”

Syarat ini menggambarkan orang yang memimpin itu mampu bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain, tidak cepat terpengaruh dengan khabar yang tidak pasti.

Jika dia melakukan kesilapan, diri sendiri menanggung risiko, bukan mengkambing hitamkan orang lain demi keselamatan diri.

Syarat keempat ialah pemimpin memerlukan ‘The Power Of Communication.’ Ketika berinteraksi dengan pengikut akan menghadapi pelbagai kerenah, keinginan dan tuntutan yang semestinya mampu menenangkan mereka walaupun hajat tidak tertunai, bukannya putar belit.

Cara berkomunikasi ada empat:

1) Cakap mudah difahami, bahasa terang, arahan jelas tidak berbelit-belit.

2) Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi, tidak ada tembok pemisah atau terlalu protokol. Pasangan berkahwin sebab banyak kesamaan antara mereka. Mereka nescaya bercerai jika ada banyak perbezaannya.

3) Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di hati dan tidak nampak dengan mata namun ia dapat dirasai. Jika tidak ikhlas seakan ada satu gelombang yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata tidak tajam tidak masuk di hati.

4) The power of service. Cakap hanya perlu pada tempatnya tetapi bertindak semestinya lebih banyak. Allah memberikan kita dua telinga supaya kita banyak mendengar, Allah memberikan kita dua mata supaya kita banyak melihat dan mengamatinya, kemudian bertindak berasaskan pendengaran dan pemerhatian.

Rasanya elok juga disinggung sedikit perkara yang menambah komitmen moral seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat surah al-Muddassir.

i- Bangun dan beri peringatan. Pemimpin mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara menyalahi kebenaran, dengan kuasanya dia akan meluruskannya.

ii-Mesti membasarkan Allah. Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi jangan mendahului Allah.

iii- Bersihkan pakaiannya. Pakaian luar dan dalam iaitu hati biar turut bersih.

iv- Tinggalkan dosa.

v- Janganlah memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah kalau boleh jangan ingat bahawa kita pernah memberi kepada seseorang.
 

My Cinta Kasih Copyright 2008 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipiet | All Image Presented by Tadpole's Notez